Wednesday 6 June 2012

Newsclip: Cetusan Rasa Fabian William

Petikan berita mengenai pelancaran album Fabian William pada 24 Mac 2012 oleh surat khabar Harian Express.

*****

BAGI sesetengah penulis lirik, mereka menterjemah nukilan dalam bahasa Malaysia, atau bahasa lain, ke bahasa Dusun.

Tapi bait-bait lagu dalam album Id Pagandadan ditulis langsung dalam bahasa Dusun. Ia bukan kerja terjemahan.

Kerana itu, bagi pendengar yang boleh memahami bahasa itu, mereka akan mudah terkesan oleh keindahan lirik yang puitis dengan makna yang sangat dalam.

“Itulah keistimewaan album ini,” kata pemilik album itu, Fabian William.

“Kebanyakan lagu dan lirik dalam album ini adalah nukilan saya sendiri. Justeru, ia umpama luahan rasa yang dalam maknanya.

“Ada di antara lirik itu yang tercetus oleh pengalaman sendiri, dan ada juga yang terhasil bersandarkan pemerhatian saya kepada apa yang berlaku di sekeliling saya,” katanya.

Fabian bercerita mengenai album sulungnya itu yang dilancarkan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Masidi Manjun di Kota Kinabalu, baru-baru ini.

Penyanyi berumur 32 tahun ini muncul agak lewat sebagai artis rakaman biarpun dia sebenarnya sudah lama menyimpan hasrat untuk bergelar penyanyi.

Berasal dari Kg Maukab, Ranau, dia rela mengorbankan minatnya itu kerana mahu mengejar impian lain untuk bergelar jurutera.

Setelah mempunyai kerjaya tetap, dia kini lebih bersedia untuk melunaskan impiannya memiliki album.

Seperti kebanyakan penyanyi tempatan lain, menyanyi bukan kerjaya sepenuh masanya.
“Bukan tidak pernah ada usaha sebelum ini tapi ada perkara lain yang perlu saya beri keutamaan,” jelasnya.

Bagi sesetengah penyanyi, mereka rasa lebih ‘selamat’ untuk menghasilkan single memandangkan pasaran album fizikal yang agak lesu ketika ini.

Tapi Fabian memilih langkah berani untuk muncul dengan album penuh yang memuatkan 10 buah lagu.

“Saya ingin realisasikan impian saya untuk memiliki album dan menambah khazanah lagu-lagu tempatan. Lagipun, saya rasa ‘alang-alang’ menghasilkan single kerana material saya semuanya sudah ada.

“Kerana itu, saya rasa lebih berbaloi untuk muncul dengan album penuh,” katanya.

Menurut Fabian, satu lagi keistimewaan album itu ialah, selain memuatkan audio CD, ia turut mengandungi versi DVD karaoke.

“Ia dua dalam satu.”

Fabian berharap kelainan itu akan menggamit minat pendengar untuk menyokong album tersebut yang dihasilkan di bawah label Pusakag Productions dengan kos mencecah RM20,000.
Diminta mengulas komen Masidi dalam ucapannya mengenai lagu irama twist Sinding Rumamai dalam album itu yang beliau sifatkan tidak sesuai, ini jawapan Fabian:

“Saya percaya Datuk Masidi memberikan pandangan peribadinya. Maklumbalas yang saya terima sebelum dan ketika proses pembikinan album ini ialah ramai yang mahukan rentak sebegitu dimuatkan dalam album ini.

“Masyarakat kita suka mendengar lagu-lagu berirama rancak seperti Sinding Rumamai di mana mereka boleh turut menari apabila dinyanyikan pada majlis-majlis keramaian,” katanya.

Fabian meramalkan lagu Nung Muhang Koh Doho, Sinding Rumamai, Langadku dan Id Pagandadan akan cepat diterima peminat.

Selain lagu-lagu itu, album Id Pagandadan turut memuatkan lagu Koposionku, Koubasananku, Au Ku Lihuan, Laang Minsomok, Odop No dan Ungkalat.

Kembali bercerita mengenai lirik putis dalam lagu Id Pagandadan, mungkinkah lagu melankolik itu ada kaitan dengan cincin emas yang tersarung di jari manis penyanyi ini?

“Tiada,” katanya sambil tergelak sebelum menambah, “Lagu itu bercerita mengenai seseorang yang setia menanti setelah ditinggalkan oleh orang yang sangat dikasihinya… mungkin putus cinta atau meninggal dunia. Id Pagandadan bermaksud Dalam Penantian. Dia terus menanti kerana dia percaya akan cintanya,” kata Fabian.

Pada majlis pelancaran itu, Fabian turut menghiburkan tetamunya dengan dendangan beberapa buah lagu yang dipetik dari album sulungnya itu.

Antara artis yang turut hadir memberikan sokongan ialah Ridah Malanjang, Elsie James, Peter Anderson Nianti, Terry Peter dan Rubisa Tiasin.

***** 

P/S Nicely wrote by Boyd PV

2 comments:

  1. Agak lewat sya miliki album FW, walaupun sya tahu akan lagu2 beliau melalui nyanyian dr majlis2 perkahwinan dll., namun akhirnya sya dpt contact & berjumpa sendiri dgn beliau utk mendptkan albumnya. Sya amat berharap FW dpt menerbitkan bbrp lg buah album pg masa akan dtg.. respect & all the best~

    ReplyDelete
  2. Agak lewat sya miliki album FW, walaupun sya tahu akan lagu2 beliau melalui nyanyian dr majlis2 perkahwinan dll., namun akhirnya sya dpt contact & berjumpa sendiri dgn beliau utk mendptkan albumnya. Sya amat berharap FW dpt menerbitkan bbrp lg buah album pg masa akan dtg.. respect & all the best~

    ReplyDelete